Sunday 29 July 2012

Info Extra tentang Ciri-ciri Tamadun Huang Ho

CIRI-CIRI TAMADUN HWANG-HO



Ciri-ciri

Pembentukan Bandar

Penduduk Cina mendapati Lembah Sungai Hwang-Ho sesuai untuk pertanian. Mereka mendirikan perkampungan tetap di sana. Perkampungan ini berkembang dengan pesat dan mengalami urbanisasi dan seterusnya menjadi bandar. Bandar ini mempunyai sistem ekonomi dan struktur masyarakat yang kompleks. Contoh bandar atau negara kota yang wujud ialah Kota Shang (2000 SM), Anyang (1800 SM), Loyang, Changgan dan sebagainya. Kebanyakan bandar ini muncul di tebing sungai dan tembok telah dibina untuk melindungi bandar tersebut.

Gambar-gambar Hwang Ho




Pembentukan Kerajaan


(Bahagian Biru ialah Dinasti Zhou)

Pembentukan Kerajaan

Pada permulaan, setiap negara kota itu merupakan satu kerajaan. Terdapat satu daripada negara kota itu telah berjaya memperluaskan wilayahnya dengan menawan negara kota yang lain. Negara kota itu ialah Shang. Juga dipercayai bahawa sebelum Shang, terdapat satu dinasti yang bernama Hsia. Raja Shang ini kemudian memperkuatkan kekuatan tenteranya dan negara kota yang lemah pun secara sukarela menunduk terhadap kekuasaan Shang. Maka akhirnya Kerajaan Shang pun ditubuhkan. Kerajaan Shang ini diketuai oleh seorang raja dan setiap orang bangsawan pula akan diberikan sesuatu wilayah untuk ditadbir secara turun-temurun. Kerajaan Shang ini beribu kota di Anyang. Kerajaan Shang ini kemudian diguling oleh Wu Wang dari Kerajaan Chou kerana kezaliman raja Shang yang bernama Zhou Hsin.

Wujudnya Organisasi Sosial

Dalam organisasi sosial Tamadun Hwang-Ho, Raja menduduki hierarki yang tertinggi dalam masyarakat Cina. Di bawahnya, terdapat golongan bangsawan, mereka merupakan golongan yang berpengaruh di kalangan rakyat. Selepas bangsawan, golongan petani menjadi golongan yang penting. Namun begitu, ramai daripada mereka menjadi hamba berhutang pada zaman Dinasti Chou kerana tidak dapat mengeluarkan hasil yang mencukupi. Artisan, peniaga dan askar menduduki tempat yang paling rendah dalam hierarki masyarakat China. Selain itu, terdapat ahli-ahli sihir yang mentafsirkan mimpi raja dan pawang yang menjalankan upacara-upacara di istana Shang.

(Tembikar-tembikar yang dibuat daripada tanah liat)
(Jed-jed yang digunakan untuk perhiasan)
(Senjata-senjata yang dibuat daripada gangsa)

Perkembangan Teknologi

Sains dan teknologi di Tamadun Hwang-Ho maju sejak Dinasti Shang dan bertambah maju pada zaman Dinasti Chou. Pada zaman Dinasti Shang, gangsa digunakan untuk membuat alat senjata dan alat pertanian, tanah liat digunakan untuk membuat tembikar, jed digunakan sebagai alat perhiasan, sutera dihasilkan dan sistem kalendar dan perpuluhan diperkenalkan. Pada zaman Dinasti Chou pula, wang yang dibuat daripada logam digunakan. Buku mulai dicetak dan alat tulisan mula dihasilkan.

Pengkhususan Kerja
Raja dianggap sebagai anak tuhan iaitu Tian Zhi, maka baginda berkuasa memerintah negara dengan penuh berkuasa. Baginda juga merupakan “Tuan Tanah” dan bangsawan pula merupakan “Penyewa Tanah”. Golongan bangsawan akan dianugerahkan sebuah wilayah untuk ditadbir secara mutlak dan sebahagian hasil yang diperolehi akan diserah kepada raja. Golongan bangsawan ini juga mewujudkan sistem pemerintahan birokrasi di bahagian pusat di mana jabatan-jabatan seperti kewangan, pasukan bersenjata, undang-undnag diwujudkan. Di antara kurun ke-8-3 SM, golongan ini menjadi terlalu kuat dan kerajaan pusat tidak lagi berupaya mengawal kuasa mereka. Golongan petani pula bekerja sebagai pencucuk tanam ataupun penternak binatang. Hasil yang diperolehi akan diserahkan sebahagian kepada bangsawan sebagai cukai. Seterusnya, artisan, peniaga dan askar masing-masing menjalankan kewajipan mereka mengikut kemahirannya.

Wujudnya Kepercayaan

Mengenai Tamadun Hwang-Ho, mereka mengamalkan pemujaan terhadap nenek moyang. Mereka percaya nenek moyang mempunyai pengaruh ke atas kehidupan mereka. Apabila mereka hendak mendapat mertolongan daripada nenek moyang, mereka akan menggunakan tulang nujum. Tulang nujum ini akan diukir dengan beberapa soalan dan kemudian dihempaskan. Berdasarkan retak-retak atas tulang, mereka akan membuat ramalan. Selain daripada pemujaan nenek moyang, mereka juga menyembah Tuhan Shang Ti, tuhan matahari, tuhan bulan, tuhan angin dan sebagainya.





(Tulisan bentuk gambar)


(Tulisan ditulis di atas buluh)

Wujudnya Bahasa dan Tulisan

Sejak zaman Dinasti Shang, sistem tulisan dalam bentuk gambar yang melambangkan sesuatu perkara atau benda telah wujud. Tulisan ini menggunakan idea abstrak. Terdapat lebih kurang 3,000 simbol ini kekal selama 3,500 tahun sehingga masa kini. Bentuk tulisan ini dipanggil ideogram. Ia ditulis secara menegak dalam lajur-lajur kecil. Jurutulis yang mahir menulis menggunakan berus atau kayu runcing untuk menulis atas tulang, buluh, gangsa, tembikar, kayu dan sebagainya. Contoh bentuk tulisan ideogram ialah 山 yang mewakili bukit dan 日 yang mewakili matahari.

No comments:

Post a Comment